HIBAH UNTUK SEMUA
Sejak kebelakangan ini kita sering terdengar bermacam macam perbincangan berkaitan hibah samada di media sosial mahupun di restoran. Ada yang berkata tentang hibah Takaful/ Takaful hibah, hibah rumah, hibah kereta dan bermacam macam lagi.
Saya percaya masih ramai lagi di luar sana malah anda yang sedang mula membaca artikel ini tertanya tanya atau masih lagi kurang jelas dengan maksud hibah.
Untuk pengetahuan anda semua, hibah juga merupakan instrumen atau kaedah yang ada dalam perancangan harta menurut undang undang Islam selain dari faraid dan juga wasiat yang mana hibah memudahkan penerima hibah untuk menerima harta pemberi hibah tanpa melalui prosedur undang undang pentadbiran pusaka.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HIBAH INI?
Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan yang baik atau memberi pada masa si pemberi masih hidup atau memberi sesuatu yang boleh dimaksudkan sebagai hadiah.
Di sini saya ingin simpulkan bahawa maksud hibah adalah sebagai pemberian(hadiah) harta yang berlaku semasa hidup oleh pemberi hibah kepada seseorang tanpa ada sebarang balasan.
APAKAH PULA HARTA YANG BOLEH DIHIBAHKAN?
Antara harta yang boleh dihibahkan termasuklah simpanan di akaun Tabung Haji, rumah milikan penuh, tanah milikan penuh, kenderaan, simpanan wang akaun bersama, saham atau saham syarikat, barang kemas, pelaburan unit amanah (unit trust), dan pada waktu ini manfaat Takaful juga boleh dihibahkan.
Harta yang hendak dihibahkan tersebut hendaklah hak milik sepenuhnya si pemberi hibah tadi.
APAKAH TANGGUNGJAWAB PENERIMA HIBAH?
Sebagaimana yang dijelaskan, hibah ini adalah hadiah. Dan bila sesuatu harta itu telah dihibahkan, maka harta tersebut akan berpindah milik dari pimilik yang lama kepada pemilik yang baru. Dengan ini pemilik yang baru mempunyai hak mutlak sepenuhnya ke atas harta yang dihibahkan/ diterima. Dan dia berkuasa serta bebas membuat apa apa keputusan keatas harta yang telah diterima tadi.
Penerima hibah juga tidak perlu memfaraidkan harta tersebut. Malah penerima hibah tidak ada apa apa tanggungan ke atas apa apa liabiliti pemberi hibah.
Hibah juga ada beberapa jenis dan syarat. Hibah dibuat semasa hidup tetapi ada hibah dilaksanakan atau dipindahmilik selepas berlakunya kematian pemberi hibah, sebagai contoh pampasan kematian (Takaful).
APA PULA HIBAH TAKAFUL?
Untuk pengetahuan anda hibah Takaful ini bukanlah suatu produk atau polisi yang ada di dalam Takaful mahupun Insurans.
Di dalam Takaful, konsep hibah ini digunakan sebagai satu kaedah pemberian atau agihan pampasan kematian orang yang dilindungi kepada waris ataupun sesiapa sahaja yang diinginkan.
Untuk faham konsep hibah Takaful ini, anda perlu tahu tentang penamaan di dalam sijil Takaful. Secara amnya, terdapat 2 jenis penama yang ada di dalam borang penamaan Takaful. Pencarum mesti memilih salah satu darinya samada :
i. Penama perlantikan WASI atau
ii. Penama penerima HIBAH bersyarat.
Mungkin anda tertanya tanya juga perbezaan antara penama wasi dan hibah.
Saya ringkaskan,
Sebagai contoh, katakan AHMAD mempunyai pelan Takaful dan mempunyai pampasan kematian berjumlah RM 500,000. AHMAD berhasrat untuk menamakan BALQIS sebagai penama.
Situasi pertama, sekiranya AHMAD menamakan BALQIS sebagai penama perlantikan WASI. Maka BALQIS bukanlah pemilik mutlak wang pampasan tersebut. Balqis berperanan dan bertanggungjawab sebagai pelaksana sahaja.
Di sini Balqis BALQIS adalah orang yang akan memulakan proses tuntutan di syarikat Takaful dan merancang tindakan seterusnya bersama waris. Wang pampasan kematian Ahmad tersebut mesti diagihkan mengikut proses agihan kadar faraid kepada waris waris yang hak.
Situasi kedua. Sekiranya AHMAD menamakan BALQIS sebagai penama penerima hibah bersyarat, maka BALQIS adalah pemilik mutlak sepenuhnya wang pampasan kematian tersebut dan wang tersebut tidak perlu diagihkan mengikut kadar faraid kepada waris yang lain.
BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT HIBAH TAKAFUL?
Sekiranya anda merancang untuk membuat hibah Takaful, anda boleh melanggan dan mencarum mana mana pelan Takaful yang ada. Kebiasanya semua pelan Takaful sememangnya telah tersedia dengan manfaat pampasan kematian(Basic Benefit). Dan sekarang ini juga banyak syarikat Takaful yang telah memperkenalkan pelan pelan yang sesuai untuk dijadikan sebagai hibah.
Selepas itu, anda boleh terus membuat penamaan, penama penerima hibah bersyarat. Untuk membuat penamaan bagi tujuan di atas, di Takaful ia adalah PERCUMA dengan mengisi butiran penuh di dalam borang penamaan Takaful. Berbeza sekiranya anda ingin menghibahkan harta lain yang memerlukan dokumen tambahan serta bayaran tertentu untuk proses.
KLIK DI SINI UNTUK MEMOHON HIBAH TAKAFUL
KENAPA PERLU HIBAH TAKAFUL?
1. Kita sedia maklum berdasarkan kepada pengalaman dan kes kes yang ada, proses untuk pembahagian faraid untuk harta pusaka tidak kira hartanah atau pun wang ringgit perlu melalui banyak saluran dan ia mungkin mengambil masa yang lama, sedangkan waris waris yang ditinggalkan seperti isteri dan anak anak mungkin memerlukan sumber kewangan dengan kadar segera pada ketika itu. Apabila hibah Takaful diperkenalkan, ia dengan harapan dapat memberi penyelesaian kepada isu isu yang mungkin bakal timbul apabila pembahagian faraid kelak.
2. Pada masa sekarang banyak isu yang timbul dalam proses pembahagian harta pusaka iaitu faraid, ada yang berpendapat kadar yang ada dalam faraid itu tidak adil dan sebagainya. Ada yang sampai bergaduh, ada juga yang sampai bermasam muka di kalangan ahli keluarga. Tetapi sebenarnya setiap bahagian faraid itu didatangkan dengan tanggungjawab. Hibah ini boleh dijadikan sebagai alternatif lain penyelesaian yang terbaik yang boleh disediakan semasa hidup kerana pemilik harta bebas menghibahkan kepada siapa yang dikehendaki dan berapa banyak yang ingin diberikan. Begitu juga dengan hibah Takaful.
3. Jika kita bandingkan untuk mencairkan aset tunai, seperti tunai di bank, saham amanah, wang simpanan pekerja dan Takaful, Takaful adalah aset tunai paling mudah dan cepat untuk dicairkan. Maksud dicairkan di sini ialah mudah untuk diperolehi atau dikeluarkan jika nak dibandingkan dengan yang lain. Ini kerana pembayaran hanya akan dibuat berdasarkan borang penamaan sahaja dan orang yang dinamakan boleh terus mulakan proses membuat tuntutan.
4. Setiap perkara yang wujud sudah tentu ia didatangkan dengan kebaikan. Begitu juga dengan hibah Takaful. Hibah Takaful atau hibah ini bukanlah untuk menidakan atau membelakangkan hukum faraid, tetapi ia adalah sebagai satu kaedah untuk memudahkan di masa akan datang.
5. Jika kelak anda ingin memberikan sesuatu kepada mereka yang tertentu sahaja contohnya isteri, anak anak, ibu atau ayah, maka hibah adalah pilihan yang boleh difikirkan kerana ia memudahkan buat waris anda.
SEBAHAGIAN IDEA LAIN UNTUK HIBAH TAKAFUL
1. Ada yang mencadangkan supaya hibah Takaful digunakan sebagai penyelesaian hutang. Contohnya, suami memberi hibah kepada isteri. Sekiranya berlaku kematian suami, si suami meminta si isteri menyelesaikan hutang yang ditinggalkan menggunakan wang pampasan kematian yang dihibahkan tadi. Bagi saya ini kurang praktikal sebab sudah lari dari maksud hibah sebenar seperti mana yang saya kongsikan diatas. Keduanya adakah dengan wang pampasan kematian tadi cukup untuk menyelesaiakan semua hutang? Jika idea ini ada sekalipun, diharap ini hanyalah persetujuan diantara pemberi dan penerima hibah tadi semasa hidup.
2. Supaya waris yang ditinggalkan iaitu isteri dan anak anak boleh meneruskan hidup seperti biasa walaupun ketiadaan suami atau bapa mereka. Sudah pasti setiap kematian pasti akan ada waris yang ditinggalkan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Lihat sahaja yang ada di TV, media sosial, surat khabar dan lain lain saluran media yang ada.
3. Supaya isteri atau sesiapa sahaja yang ditinggalkan masih ada masa bagi merancang kehidupan selepasnya. Suami sudah tiada lagi, bermaksud sumber kewangan keluarga juga kurang atau hilang atau tiada langsung.
4. Isteri yang ditinggalkan tidak mengalami kemurungan gangguan emosi berpanjangan kerana terpaksa memikirkan tempat bergantung harap. Ramai isteri yang kematian suami terpaksa bekerja semula selepas ketiadaan suami mereka. Ramai juga merancang mencari pasangan baru untuk meneruskan hidup dan ramai juga yang pulang ke pangkuan ibu bapa sendiri.
5. Hibah yang mana 100% bahagian boleh dihadiahkan terus kepada isteri atau sesiapa sahaja yang diingini tanpa perlu dibahagikan seperti mana harta pusaka yang perlu diagihkan melalui proses faraid.
6. Pendidikan anak anak dapat diteruskan sehingga peringkat tertinggi tanpa perlu dihantar/ diasuh di rumah rumah kebajikan rumah anak yatim. Ada juga yang terpaksa dihantar kepada keluarga terdekat. Biarlah anak anak itu bersama ibu mereka sendiri atau penjaga yang hak.
7. Waris iaitu keluarga boleh menguruskan dan menyelesaikan segala hutang si mati (Ini sebagai idea sahaja, tetapi bergantung kepada perbincangan pemberi dan penerima hibah semasa hidup).